Pages

Serikandi Musafir

Serikandi Musafir

Tuesday, 14 January 2014

Poligami Rasulullah SAW


Dr. Donald bertambah kagum melihat peribadi yang dipamerkan oleh rakan sekerjanya itu. Kalau agama yang tidak baik sekalipun, jika dibawa oleh orang yang baik, agama itu tetap nampak baik. Sekiranya agama yang baik dan benar, tetapi dibawa oleh orang yang tidak baik, agama itu pasti nampak buruk, fikirnya.

     'Mungkin sebab itulah Islam tersebar luas ke pelosok dunia. Mungkin secara kebetulan orang yang bawa Islam itu baik sehingga agama ini nampak baik,' bisik hati Dr. Donald.

     "Soalan ini berlanjutan daripada soalan tadi. Kenapa Nabi berkahwin sehingga sembilan orang dalam satu-satu masa, sedangkan Islam hanya mengehadkan empat isteri sahaja untuk setiap lelaki. Saya rasa dalam al-Quran juga ada menyebut tentang empat orang isteri. Ini cakap tak serupa bikin, disuruh lain dan dibuat lain. Minta maaf kalau saya sebut, memiliki sembilan orang isteri tidak ubah seperti kuat nafsu," ujar Dr. Donald.

Dr. Ahmad Zabidi menunjukkan wajah yang tenang. Tidak ada riak wajah yang penuh emosi tatkala mendengar soalan berbentuk cercaan kepada Nabi Muhammad SAW. Dia sedar dalam situasi tersebut dia perlu menjawab dengan tenang dan profesional. Jawapan berbentuk emosi akan memberi natijah yang buruk kepada dirinya dan juga kepada orang yang bertanya.

     "Nabi Muhammad SAW berpoligami bukan kerana kuat nafsu. Tetapi untuk kepentingan politik dan dakwah Islam semata-mata. Nabi Muhammad SAW menggunakan apa sahaja strategi yang sesuai untuk menyebarkan Islam, itulah tugas utamanya. Saya yakin tuan telah mengkaji serba sedikit tentang kehidupan Nabi Muhammad SAW. Boleh tuan jelaskan satu persatu nama isterinya?" jawab Dr. Ahmad Zabidi.

     "Err... saya tidaklah ingat kesemuanya. Kalau beberapa orang saya boleh sebut," ujar Dr. Donald.

     "Sebutkan," Dr. Ahmad Zabidi mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen untuk mencatat nama-nama yang akan disebut oleh Dr. Donald.

     "Isteri pertama ialah Khadijah. Kemudian yang lain ialah Aisyah, Ummu Salamah, Hafsah, erm..." Dr. Donald sedang memerah otaknya.

     "Lagi?" pinta Dr. Ahmad Zabidi.

     "Juwairiah dan Maimunah. Itu sahaja yang saya ingat," ujar Dr. Donald.

Dr. Ahmad Zabidi mencatat satu persatu nama-nama yang disebut oleh rakannya tadi.

     "Ini sudah terlalu bagus. Tahniah tuan. Kebanyakan orang Islam sendiri tidak mampu ingat sebanyak ini. Untuk pengetahuan tuan, daripada 11 orang, hanya dua orang sahaja yang berumur 36 dan ke bawah. Nama-nama yang lain ialah Mariah, Safiah, Saudah, Zainab dan Ummu Habibah," ujar Dr. Ahmad Zabidi sambil mencatat nama-nama yang disebutnya.

     "Bagi membuktikan Nabi Muhammad SAW bukan seorang yang kuat nafsu, kita ambil contoh isteri yang pertama. Umur Muhammad semasa mereka berkahwin ialah 25 tahun dan Khadijah ialah 40 tahun. Walaupun ada pertikaian tentang umurnya, tetapi yang pasti dia lebih tua daripada Muhammad, 15 tahun Khadijah lebih tua," ujar Dr. Ahmad Zabidi sambil menunjuk nama Khadijah dengan pen ditangannya.

     "Kalau seorang pemuda yang kuat nafsu, dia pilih wanita muda dan dara atau dia pilih seorang janda yang berumur untuk dikahwininya?" soal Dr. Ahmad Zabidi.

     "Tapi... ermm. Ya, saya setuju. Dia akan pilih yang muda," jawab Dr. Donald ragu-ragu. Dia tahu jawapannya akan menyebelahi hujah Dr. Ahmad Zabidi. Namun, sebagai seorang yang profesional, dia harus rasional dan jujur dengan ilmu.

     "Jadi bagi kes isteri pertama, Muhammad bukanlah seorang yang kuat nafsu kerana memilih seorang janda yang jauh lebih berusia," ujar Dr. Ahmad Zabidi.

     "Strateginya mungkin untuk membolot harta. Kemudian, dengan harta itu dia dapat mengumpan lebih ramai lagi gadis untuk berfoya-foya," tuduh Dr. Donald.

     "Itu cuma sangkaan, bukan fakta, betul?"

     "Err.. Mmmm".

     "Pada saat suami lain ketika itu suka mengumpul ramai isteri, Muhammad setia kepada Khadijahnya. Satu-satunya. Bahkan baginda langsung tidak menggauli hamba. Sangat setia," tambah Dr. Ahmad Zabidi.

     "Secara biologinya, usia muda dengan usia tua, manakah yang lebih kuat keinginan seks?" soal Dr. Ahmad Zabidi lagi.

     "Tentu sekali usia muda," Dr. Donald menjawab dengan pasrah sambil mengangkat kedua-dua bahunya.

Dia seolah-olah dapat membaca hujah seterusnya dari Dr. Ahmad Zabidi yang pastinya tidak akan menyebelahinya.

    "Muhammad berkahwin dan hidup tanpa berpoligami dengan Khadijah untuk tempoh 25 tahun. Cukup lama. Usia mudanya diluangkan untuk seorang isteri sahaja. Kalau dia seorang yang kuat nafsu, tentu sekali dia berusaha menambah bilangan isterinya seramai mungkin dalam usia yang masih muda. Dia hanya berpoligami semasa umurnya melewati 50 tahun, itupun setelah kematian Khadijah. Adakah ini kuat nafsu?" ujar Dr. Ahmad Zabidi.

Dr. Donald tidak mengiakan ataupun menidakkan. Dia hanya berdiam diri. Senjata ampuh yang sering digunanya mula dirobek sedikit demi sedikit oleh Dr. Ahmad Zabidi. Tidak ada cara lain, dia perlu mengkaji dan mencari hujah-hujah yang lain untuk berdialog dengan rakannya.

     "Di atas kertas ini ada 10 orang lagi isteri Muhammad. Tuan sebut sahaja mana-mana nama, saya akan jelaskan kenapa Muhammad berkahwin dengan mereka, kerana nafsu ataupun kerana politik dan dakwah Islam," ujar Dr. Ahmad Zabidi sambil menunjuk senarai nama isteri Nabi Muhammad SAW yang ditulis di atas kertas.

Dr. Donald mengambil kertas yang dihulur oleh Dr. Ahmad Zabidi. Dia memerhatikan satu persatu nama yang dicatat. Dia hanya tahu serba sedikit tentang kisah Khadijah dan Aisyah, selebihnya hanya ingat nama sahaja. Matanya bergerak dari senarai atas hingga ke bawah, kemudian ke atas semula.

     "Saudah," jari telunjuk kanannya menunjuk kepada nama di atas kertas tersebut.

     "Tuan kenal siapa Saudah?" tanya Dr. Ahmad Zabidi.

Dia merenung wajah rakannya. Dr. Donald hanya menggelengkan kepala sebagai isyarat tidak.

     "Saudah juga seorang janda. Mengikut riwayat, Saudah merupakan wanita tua, uzur dan gemuk ketika menjadi isteri Muhammad. Bahkan dia sudah mempunyai beberapa orang anak semasa berkahwin dengan Muhammad. Adakah ini mengikut hawa nafsu?" terang Dr. Ahmad Zabidi.

Dr. Donald tidak menjawab soalan Dr. Ahmad Zabidi. Dia tahu itu bukan soalan, tetapi ia adalah satu hujah. Matanya terus bergerak untuk mencari isteri Nabi yang lain.

     "Bagaimana dengan Juwairiah?" Dr. Donald menunjuk nama Juwairiah di atas kertas dengan jari telunjuknya.

Belum sempat Dr. Ahmad Zabidi menjelaskan, Dr. Donald terlebih dahulu mencelah. Dia tahu serba sedikit mengenai kisah isteri Nabi itu.

     "Juwairiah ini seorang wanita yang jelita. Dia menjadi tawanan orang Islam setelah kaumnya tewas dalam perang. Selepas itu, dia berjumpa dengan Muhammad untuk mengadu nasibnya. Muhammad telah terpesona dengan kejelitaannya lalu menawarkan diri untuk mengahwininya."

     "Kisah Juwairiah ditawan itu memang betul. Tetapi tujuan Nabi Muhammad mengahwininya bukan semata-mata jatuh cinta terhadap kecantikannya. Tetapi kerana strategi politik. Tahukah tuan apa impak perkahwinan tersebut?" soal Dr. Ahmad Zabidi.

Dr. Donald tidak menjawab. Dia hanya menunggu rakannya menjawab sendiri soalan tersebut.

     "Impaknya ialah banyak kaumnya memeluk agama Islam selepas itu. Ada yang menyebut seratus orang dan ada yang menyebut puluhan orang. Isteri Nabi yang bernama Aisyah menyebut, "Aku tidak pernah mengetahui seorang wanita yang lebih berkah dari kaumnya melainkan Juwairiah." Apa akan jadi sekiranya dia tidak menjadi isteri Nabi dan kaumnya tidak memeluk Islam?" kata Dr. Ahmad Zabidi sambil mengajukan lagi soalan kepada Dr. Donald.

Dr. Donald hanya mengangkat bahunya sambil menjuihkan bibirnya. Dia seolah-olah tidak mahu berfikir lagi. Dia hanya menunggu Dr. Ahmad Zabidi menjawab soalannya sendiri seperti tadi.

     "Mereka pasti akan balas dendam. Mereka boleh mengumpulkan semula kekuatan dan mengganggu keamanan penduduk Madinah. Mereka juga boleh bergabung dengan kaum lain dan berpotensi untuk memberi ancaman besar kepada Islam di Madinah. Jadi, perkahwinan tersebut atas strategi politik atau nafsu semata-mata? Satu lagi, jumlah yang masuk Islam ketika itu cukup penting untuk strategi dakwah Islam," ujar Dr. Ahmad Zabidi.

Dr. Donald sekali lagi melihat senarai nama isteri Nabi di atas kertas yang dipegangnya. Dia ingin mencuba untuk kali terakhir. Matanya bergerak dari atas dan ke bawah beberapa kali pada senarai nama tersebut. Terdetik di hatinya, jika dia memilih lagi salah satu nama isteri Muhammad, tentu dia akan mendapat jawapan yang sama. Tajuk ini tidak menguntungkannya.

     "Soalan yang terakhir, kenapa Nabi tuan berkahwin sehingga sembilan isteri dalam satu-satu masa? Sedangkan dalam masa yang sama ajaran agama Islam mengehadkan sehingga empat sahaja?"

     "Tuan perlu tahu poligami dalam Islam bukan bertujuan untuk menambah bilangan isteri, tetapi untuk mengehadkan. Jumlah isteri masyarakat arab terlalu ramai ketika itu. Perintah mengenai had maksima poligami diturunkan setelah Nabi Muhammad telah pun berkahwin dengan isteri-isterinya. Selepas itu Nabi Muhammad diharamkan menceraikan isteri-isteri sehingga tinggal empat orang sahaja. Ia demi kemaslahatan para isteri Nabi. Nabi pula tidak menambah jumlah isteri selepas perintah itu. Ini khusus untuk Nabi Muhammad sahaja," jawab Dr. Ahmad Zabidi.

Dr. Donald mengangguk sedikit kepalanya. Jawapan yang diberikan memuaskan hatinya. Hajatnya untuk menguak selebar mungkin kelemahan dalam Islam, tetapi dia menemui banyak jawapan kepada putar belit yang dimainkan oleh pihak yang tidak suka kepada ajaran Islam, termasuk dirinya.




~ Tuhan Lebih Saintifik ~
      Dr. Farhan Hadi

2 comments:

  1. mentaliti masyarakat pelu diperbetulkan mngenai poligami oleh rasulullah.kerana bimbang,agama akan menjadi bahan mainan suatu hri nnti!

    ReplyDelete
  2. ya betul. saya amat setuju. tapi kena tepat pada caranya :)

    ReplyDelete